Wednesday, September 05, 2012

Memorandum Kepada PM Najib (FEB 2011)


Berang dengan keputusan kerajaan negeri Sawarak merampas tanah adat mereka dan diserahkan kepada sebuah syarikat perladangan, masyarakat Kayan di Long Bemang memohon bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk campur tangan bagi mendapatkan tanah mereka semula.

Dalam memorandum yang dikemukakan kepada pegawai Najib, pada Ahad lalu ketika perdana menteri melawat Miri, masyarakat itu berkata mereka telah menetap di kawasan Sungai Apoh yang terletak di daerah Baram sejak tahun 1940an.
Dengan galakan daripada kerajaan kolonial ketika itu, mereka menandakan sempadan dengan puak Kayan dan Penan lain di kawasan itu, petik memo berkenaan.

Kerajaan Malaysia yang ditubuhkan selepas itu juga menyokong hak tanah mereka. Malah, mereka diberikan sebuah sekolah rendah, klinik kesihatan, bekalan air paip, janakuasa tenaga, sebatang jalan dan subsudi pertanian untuk penanaman padi, getah, lada dan buah-buahan.

“Kami telah mewarisi tanah adat mengikut amalan kepercayaan daripada nenek moyang kami.

“Tanah ini ibarat darah dan kehidupan kami,” petik memo yang ditandatangani oleh ketua masyarakat Apoh, Penghulu Ngau Ajang.

Pada 1989, bagaimanapun masyarakat Kayan itu mendapati tanah adat mereka telah diberikan kepada Pusaka KTS Forest Plantations Sdn Bhd (PKTS) oleh menteri negeri yang bertanggungjawab terhadap perancangan dan pengurusan sumber dan pengarah jabatan perhutanan Sarawak.

Memandangkan sebahagaian besar, tanah adat itu membabitkan tanah pertanian, pemindahan tanah tersebut dikatakan menjejaskan kehidupan penduduk setempat itu.

Justeru, dalam memo itu, mereka mahu Najib campur tangan untuk mengembalikan semua tanah adat mereka daripada dilesenkan kepada PKTS.

Mereka juga mahu kerajaan dengan penyertaan penuh masyarkat pribumi itu membuat bancian, dan mengazet sempadan di tanah berkenaan.

Sumber dari Malaysiakini


0 comments:

Post a Comment